Biblioteka Kecil

Wednesday, July 4, 2007

Laskar Pelangi


Tajuk: Laskar Pelangi

Penulis: Andrea Hirata

Penerbit: PTS Litera Utama

Tahun Terbit: 2007 Harga: RM 28

“Novel ini dipersembahkan kepada mereka yang mempercayai the magic of chilhood memories.”

Bagi seseorang yang berusia awal dua puluhan tetapi masih tidur bertemankan buku cerita kanak-kanak dan awal remaja saban malam, saya sangat-sangat teruja untuk membaca buku ini. Tambah pula, kulit hadapannya cantik. Sehinggakan adik perempuan saya (peminat buku-buku PTS One) yang berusia lima belas tahun pun cop hendak baca.

Laskar Pelangi diperikan oleh Ikal, seorang anak kecil berusia lapan tahun. Cerita bermula pada hari pertama persekolahan di Sekolah Muhammadiyah, sebuah sekolah kampung aliran agama yang miskin di Pulau Belitong. Ikal memperkenalkan pembaca kepada sepuluh orang teman sekelasnya, dan memperincikan perwatakan setiap seorang melalui pelbagai advencer yang mereka lalui bersama.

Saya melekat terus pada setiap halaman, kerana gagasan pemikiran yang dibawa terlalu hebat. Ikal dan teman-temannya, meski pun belajar dalam serba kekurangan, tetapi berjiwa besar. Mereka tidak mampu bersaing dengan Sekolah Perusahaan Nasional (PN) dari segi materi, namun menampungnya dengan kebijaksanaan seorang anak nelayan bernama Lintang, dan kreativiti seni Mahar.

Gaya bahasa yang ringkas tetapi puitis dan luar biasa indahnya menjelmakan suatu teknik penceritaan yang segar. Aspek pemerian yang teliti membuatkan saya terasa seolah-olah turut sama berteleku di dalam bilik darjah serba daif, mendengar Bu Mus mengajar dan Pak Harfan bercerita kisah nabi-nabi.

Sekali pandang, Laskar Pelangi kelihatan ‘ringan,’ tetapi sebenarnya ia sarat kritikan sosial. Persoalan darjat, status quo dan isu-isu komuniti lain disampaikan secara halus sehingga kadang-kala saya terkedu tanpa sedar.

Tahniah untuk Andrea Hirata. Khabarnya dialah Si Ikal dalam novel ini!


Foto dari laman e-kedai.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home