Biblioteka Kecil

Thursday, July 5, 2007

Justeru Impian di Jaring



Tajuk: Justeru Impian di Jaring
Penulis: Zaid Akhtar
Penerbit: Utusan Publication and Distribution
Tahun Terbit: 2007
Harga: RM 16

Pertama kali melihat kulit hadapan novel kecil ini di laman weblog pengarangnya, Ustaz Zaid Akhtar, saya sudah jatuh cinta. Rona hijau yang menatari sangat-sangat menyejukkan mata, terutamanya untuk orang-orang yang menghadap komputer tanpa sebarang perlindungan selama berjam-jam sehari seperti saya.

Membaca pula sedikit excerpt yang dimuatnaik Ustaz Zaid, saya lebih-lebih teruja. Saya agak familiar dengan kerja-kerja beliau sebelum ini [Sesegar Nailofar, Rona Bosphorus], jadi saya sangat tidak sabar untuk meladeni JIdJ. Meskipun sinopsis awal membayangkan ia mengangkat isu yang tidak terlalu berat, tetapi knowing Ustaz Zaid, saya yakin persoalan-persoalan sampingan yang diselitkan pasti menarik.

Saya mengaku, JIdJ tidak mencewakan. Pembaca akan dikenalkan kepada Syahir, seorang bintang badminton yang dihadapkan dengan pelbagai dugaan - tuntutan agama, tanggungjawab kepada negara, kasih kepada keluarga, kerenah birokrasi, persaingan di luar dan juga di dalam gelanggang.

Meskipun rencamnya pelbagai, tetapi JIdJ tidak meleret. Ustaz Zaid menggunakan cara penyampaian bersahaja, tetapi mendalam dan menyentuh rasa. Sepanjang pembacaan, saya terasa seolah-olah berasa di samping Syahir. Segala emosinya saya rasakan. Malah, tatkala Syahir menangis mencium tangan ibunya untuk memohon restu, air mata saya turut berjujuran!

Kelemahan cuma satu. JIdJ terlalu pendek! Tidak puas menelusuri jejak-jejak jaya Syahir. Kalau boleh, saya mahu novel ini disambung. Mungkin kisahnya bertanding di Sukan Olimpik pula boleh didokumentasikan.

JIdJ sarat mesej. Secara keseluruhan, ia berada dalam kelas tersendiri sebagai contoh sebuah karya sastera Islami yang mampu mendidik remaja.



P.S. Diskusi JIdJ akan diadakan di DBP pada 7 Julai 2007 (Sabtu) pada jam 9:30 pagi. Turut dibincangkan: Ladang Hati Mustika (Ummu Hani Abu Hassan) dan Misi Piramid (Ida Munira Abu Bakar).


Foto dari laman Ujana Ilmu.

Wednesday, July 4, 2007

Laskar Pelangi


Tajuk: Laskar Pelangi

Penulis: Andrea Hirata

Penerbit: PTS Litera Utama

Tahun Terbit: 2007 Harga: RM 28

“Novel ini dipersembahkan kepada mereka yang mempercayai the magic of chilhood memories.”

Bagi seseorang yang berusia awal dua puluhan tetapi masih tidur bertemankan buku cerita kanak-kanak dan awal remaja saban malam, saya sangat-sangat teruja untuk membaca buku ini. Tambah pula, kulit hadapannya cantik. Sehinggakan adik perempuan saya (peminat buku-buku PTS One) yang berusia lima belas tahun pun cop hendak baca.

Laskar Pelangi diperikan oleh Ikal, seorang anak kecil berusia lapan tahun. Cerita bermula pada hari pertama persekolahan di Sekolah Muhammadiyah, sebuah sekolah kampung aliran agama yang miskin di Pulau Belitong. Ikal memperkenalkan pembaca kepada sepuluh orang teman sekelasnya, dan memperincikan perwatakan setiap seorang melalui pelbagai advencer yang mereka lalui bersama.

Saya melekat terus pada setiap halaman, kerana gagasan pemikiran yang dibawa terlalu hebat. Ikal dan teman-temannya, meski pun belajar dalam serba kekurangan, tetapi berjiwa besar. Mereka tidak mampu bersaing dengan Sekolah Perusahaan Nasional (PN) dari segi materi, namun menampungnya dengan kebijaksanaan seorang anak nelayan bernama Lintang, dan kreativiti seni Mahar.

Gaya bahasa yang ringkas tetapi puitis dan luar biasa indahnya menjelmakan suatu teknik penceritaan yang segar. Aspek pemerian yang teliti membuatkan saya terasa seolah-olah turut sama berteleku di dalam bilik darjah serba daif, mendengar Bu Mus mengajar dan Pak Harfan bercerita kisah nabi-nabi.

Sekali pandang, Laskar Pelangi kelihatan ‘ringan,’ tetapi sebenarnya ia sarat kritikan sosial. Persoalan darjat, status quo dan isu-isu komuniti lain disampaikan secara halus sehingga kadang-kala saya terkedu tanpa sedar.

Tahniah untuk Andrea Hirata. Khabarnya dialah Si Ikal dalam novel ini!


Foto dari laman e-kedai.

Dari Ujana Ilmu

Tiba hari ini.
Terima kasih Ujana Ilmu atas kualiti servis yang mengagumkan!

Monday, July 2, 2007

Atas Nama Cinta


Tajuk: Atas Nama Cinta
Penulis: Isa Kamari
Penerbit: Al-Ameen
Tahun Terbit: 2006
Harga: RM 29


Kelemahan saya, saya kadang-kala meletakkan pengharapan terlalu tinggi terhadap sesuatu. Sesuatu itu boleh jadi pementasan, filem, atau juga buku. Bayangkanlah remuknya perasaan saya apabila sesuatu yang diharap-harapkan hebat itu sekadar indah khabar dari isinya!

Justeru, apabila Atas Nama Cinta (ANC) di tangan, saya berbelah bagi memulakan pembacaan. Lebih banyak membaca buku-buku fiksyen sejarah berbahasa Inggeris, saya jadi terlalu membanding-banding.

Namun sebaik-baik menyelesaikan segmen prolog, saya langsung teruja. Babak yang mengambil tempat di kamar bicara sebuah mahkamah di Belanda itu cukup rencamnya, sehingga saya tidak sabar membelek halaman demi halaman untuk mendalami suara hati Nadra, Cik Aminah, Osman Adabi dan watak-watak lain.

Ingatkah (atau tahukah – kepada generasi muda) anda kepada Nadra binti Ma’arof atau Maria Berthogh? Gadis Belanda kelahiran Indonesia ini pernah menjadi isu hangat di Singapura (dan Tanah Melayu?) suatu ketika dahulu rentetan perebutan hak penjagaannya antara Cik Aminah ibu angkat) dan Adrienne (ibu kandung).

Tetapi isu berbangkit di sini bukanlah sekadar kasih sayang seorang ibu kepaa cahaya matanya, sebaliknya turut melibatnya persoalan agama. Nadra yang dibesarkan sebagai seorang Muslim oleh Cik Aminah, manakala Adrienne pula beragama Kristian. Sekaligus, ini menimbulkan kerisauan umat Islam di Singapura ketika itu – jika Nadra dipulangkan kepada keluarga kandungnya, bagaimana dengan akidah gadis itu?

Kekuatan novel ini adalah aspek pemeriannya. Kehidupan Nadra di Bandung, Batavia, Kemaman dan seterusnya Singapura dilukiskan dengan halus dan teliti. Terasa seolah-olah turut berada di samping gadis itu sepanjang pembacaan. Sementara rusuhan di kota Singa – saya tak pernah menjangkakan ia sebegitu dashyat.

Kelemahan, saya kira tiada. Cuma terdapat satu atau dua babak yang saya fakir tidak perlu dimuatkan. Contohnya, Zainon diperkosa oleh Penasihat Inggeris di Terengganu. Jika ditiadakan pun saya rasa tidak menjejaskan jalan cerita.

Isa Kamari sticks strictly to the facts dalam membikin ANC. Tak salah, itulah yang sepatutnya, memandangkan ini novel sejarah dan tragedi Nadra ini sesuatu yang secara relatifnya boleh dikategorikan baru (recent).